Bebel Without a Clause

Bebel Without a Clause

Thursday, March 12, 2009

Institusi Raja dari perspektif seorang Islam.: Kenapa kita perlu medokong institusi Raja2. Dan kenapa kita perlu membezakan Raja dari Institusi Raja2

17 Feb 2009
Institusi Raja dari perspektif seorang Islam. (Posting dari seorang rakan)

Isu ketaatan dan kederhakaan kepada Raja serta kedaulatan institusi
Raja sedang hangat diperkatakan. Berbagai hujjah dan pendapat
diutarakan oleh berbagai pihak baik dari peringkat pemimpin,
sehinggalah ke rakyat jelata. Namun ramai masyarakat yang masih kurang
faham, keliru dan tidak jelas berhubung kedudukan instutusi Raja dan
kesetiaan kepada Raja

Akibat dari kekeliruan ini, apabila dihasut oleh pihak tertentu dengan
hujjah-hujjah dan pidato yang begitu menyakinkan, mereka terpedaya
sehingga sanggup membuat kekecohan, menzahirkan penentangan/
penderhakaan terhadap institusi yang selama ini dijunjung tinggi
masyarakat Malaysia umumnya dan orang Melayu Islam khususnya. Lebih
menyedihkan dan membimbangkan ialah sebilangan dari kalangan mereka
ini adalah masyarakat Melayu dan beragama Islam!!!

Pada masa kekeliruan sebegini, golongan ulama yang dihormati perlu
tampil bangun memberi penerangan dan nasihat dengan hujjah-hujjah yang
jelas agar hilang kekeliruan dan kesangsian di hati semua orang.
Namun, sepengetahuan saya, setakat ini belum ada yang tampil di
persada perdana memberi penerangan akan kedudukan sebenar institusi
Raja. Oleh itu, saya rasa terpanggil untuk memberi pandangan saya
berhubung kedudukan Institusi Raja dari kacamata seorang Melayu
beragama Islam.

Adalah diharapkan perbincangan ini akan menjadi pemangkin bagi
golongan ulama, para ilmuan dan pemimpin Islam untuk bersatu, bangun
dan mempertahankan institusi Raja yang selama ini merupakan tonggak
kedamaian dan kesatuan di negara kita MALAYSIA.

Perbincangan saya bahagi kepada 3 iaitu penerangan mengenai:
1- Sistem Khalifah dan Institusi Raja
2- Kedudukan Raja dalam sistem pentadbiran sebuah kerajaan Islam
3- Beberapa pandangan Ulamak Ahlus Sunnah Wal Jamaah berhubung
institusi Raja

Tujuan perbincangan ini ialah agar masyarakat;
1- Tahu dan faham di mana letaknya Institusi Raja dalam Sistem
Pemerintahan Islam
2- Sedar akan kedudukan yang sebenar Raja dalam Sistem Pentadbiran
sebuah kerajaan Islam
3- Timbul kesedaran akan pentingnya dipertahankan institusi ini.

Harapan saya ialah apabila masyarakat sudah tahu, sedar dan faham akan
perkara-perkara di atas, maka masyarakat Malaysia (khususnya orang
Melayu dan mereka yang beragama Islam) dan tidak mudah terpengaruh dek
hasutan-hasutan baik dari dalam mahupun luar dan mereka tidak
bertindak di luar batas yang dibenarkan oleh agama. Natijah akhir
ialah umat Islam bersatu padu memperjuang dan mempertahankan Institusi
Raja serta mengembalikan Institusi Raja ke tampok dan martabat yang
sebenar.


Sistem Khalifah dan Institusi Raja

Umumnya masyarakat Islam di Malaysia bersependapat terhadap kedudukan
khalifah dalam Islam. Oleh itu, elok dimulakan perbincangan dari titik
pertemuan dan penyatuan pendapat. Kita perhati bagaimana sistem
pentadbiran Islam yang dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W. dan para
sahabatnya r.a.hum.

Pada zaman Rasulullah S.A.W. dan zaman khulafa' arRasyidin r.a.hum,
umat Islam gigih melaksanakan tanggungjawab kerja dakwah dan
penyebaran Islam. Berbondong-bondong manusia memeluk agama Islam dari
tanah Arab, utara Afrika dan Asia barat. Dengan bertambahnya bilangan
negara-negara yang menerima Islam, membawa bersama berbagai masalah
dalam pentadbiran. Ini disebabkan berbagai bangsa dan negara menerima
agama Islam dengan berlainan adat resam dan budaya serta lain-lain
kerenah baik buruk masing-masing.

Demi melicinkan tugas-tugas pentadbiran, khalifah Islam telah melantik
penguasa-penguasa kecil yang dikenali sebagai "Gabenor" yang membantu
dalam menyalurkan dasar-dasar pemerintahan dengan lebih kemas, teratur
dan efisien. Gabenor-gabenor ini merupakan wakil bagi khalifah dan
mendapat 'nobat' dari khalifah dalam bentuk watikah-watikah
perlantikan. Bagi kerajaan yang mempunyai rajanya sendiri, khalifah
mengurniakan nobat kepada raja itu sebagai tanda ia kini menjadi wakil
ALLAH dan RasulNya atas rakyatnya. Raja-raja yang memeluk agama Islam
tetap dibiarkan menjadi raja dengan segala adat dan kebesaran tradisi
yang dipegangnya, selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Rasulullah S.A.W. pernah mengutus Hadrat Amru bin alAs r.a. kepada 2
orang raja Oman bersama sepucuk surat yang berisi seperti demikian...
"....
Aku mengajak kamu dengan dakwah Islam, anutlah agama Islam maka kamu
akan selamat.....
... Apabila kamu berdua memeluk Islam, AKU AKAN MENETAPKAN KAMU
SEBAGAI PENGUASA....
...."

Jelas di sini bahwa mana-mana kerajaan beraja yang menerima Islam dan
rajanya juga memeluk Islam, pemerintahan mereka dan kedudukan mereka
sebagai raja dikekalkan selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Pengajaran yang boleh diambil di sini ialah, institusi Raja sebenarnya
adalah sebahagian daripada sistem pentadbiran Islam yang telah
direstui dan diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. dan para sahabat baginda
r.a.hum. Dalam lain perkataan, institusi Raja merupakan satu unit dari
sistem khalifah ummah. Apabila terdapat keraguan terhadap institusi
Raja bererti ragu juga terhadap sistem khalifah. Sekiranya orang Islam
berada dalam keadaan seperti ini, ianya sangatlah bahaya!!!



Kedudukan Raja Dalam Sistem Pentadbiran Sebuah Kerajaan Islam.

Dalam sebuah kerajaan beraja, Raja adalah Ketua Negara (ulil amri)
yang merupakan pemerintah atau penguasa. Di sini kita perlu jelas dan
faham akan perbezaan di antara Pemerintah/Penguasa dan Pentadbir.
Kekeliruan atau kekaburan dalam isu perbezaan ini menyebabkan
masyarakat tidak pasti di mana letaknya kedudukan sebenar Raja dalam
sesebuah negara.

Pemerintah (atau Penguasa) adalah pemimpin yang paling teratas dalam
hieraki pemerintahan negara. Peranannya adalah sebagai tunggak dan
pelindung kedaulatan, kemuliaan dan kebesaran negara yang diterajuinya
serta pembela agama dan identiti bangsanya.

Sementara Pentadbir adalah orang-orang kanan Penguasa yang membantu
Penguasa dalam urusan pemerintahan negeri. Peranan Pentadbir ini
memerlukan kepakaran terkhusus dalam portfolio yang diamanahkan
kepadanya. Contoh pentadbir adalah menteri (termasuk ketua menteri
bagi sebuah negeri) atau kakitangan kerajaan.

Sebuah hadith riwayat Ibnu AnNajjar daripada Abu Hurairah r.a.,
Rasulullah S.A.W. bersabda: "Sultan adalah Payung ALLAH di bumi ini,
tempat bernaungnya orang-orang yang lemah, memberi pertolongan
terhadap orang-orang yang teraniaya. Barangsiapa memuliakan Sultan
ALLAH di dunia ini, ALLAH akan memuliakannya pada hari Qiamat."


Beberapa pandangan Ulamak Ahlus Sunnah Wal Jamaah berhubung institusi
Raja.

Imam ibnu Hajar berpendapat bahawa "Melantik Raja hukumnya Fardhu
Kifayah seperti melantik Kadhi".

alImam Yusof alArdabili asSyafi'e menegaskan bahwa "umat Islam
mestilah mempunyai raja yang mendirikan agama dan membela orang yang
kena zalim dan menyempurnakan segala hak, oleh itu wajib melantik raja
apabila raja itu mangkat".

alImam Ghazali berpendapat berhubung Raja dan Agama seperti berikut:
"Dunia itu ialah tempat bercucuk tanam bagi akhirat, maka tidaklah
sempurna agama itu melainkan dengan adanya dunia. Raja dan agama ialah
umpama dua anak kembar, agama itu ialah asal dan akar umbi, dan Raja
itu pula ialah pengawal. Sesuatu yang tidak mempunyai asal dan akar
umbi pasti akan roboh, dan sesuatu yang tidak mempunyai pengawal pasti
akan hilang. Kerajaan dan kepastian hukum tidak akan sempurna
melainkan adanya Sultan. Dan jalan kepastian hukum untuk menyelesaikan
perkara pemerintahan adalah dengan ilmu Fiqh".

Imam ibnu Hajar rah. berkata: "Salah satu dosa besar ialah menolak
ikatan setia dengan Raja kerana dia tiada dapat sesuatu faedah
daripada faedah dunia setelah dia mengikat setia dan taat kepada
Raja".

Ini berkaitan dengan sebuah hadith Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
"Tiga orang tiadalah ALLAH akan berkata dengan mereka pada Hari
Qiamat, dan tiadalah ALLAH melihat kepada mereka dengan rahmat dan
belas kasihan, dan tiadalah ALLAH akan melepaskan dan membersihkan
mereka daripada dosa, dan bagi mereka disediakan suatu azab yang
pedih..... iaitu seorang yang telah mengikat taat setia kepada Raja
dan tidalah dia mengikat taat setia melainkan kerana tujuan harta
dunia, jika Raja itu memberikan kepadanya harta dunia maka dia
menyempurnakan taat setianya itu, dan jika Raja itu tiada memberi
kepadanya sesuatu daripada harta dunia maka tiadalah dia
menyempurnakan taat setianya kepada Raja itu".

Kesimpulan

Institusi Raja-Raja Islam adalah sebahagian dari sistem pemerintahan
dan pentadbiran Islam. Sementara Raja dan Sultan merupakan "Payung
ALLAH" di bumi ini dan ketaatan kepada Raja adalah tuntutan agama dan
derhaka kepada Raja adalah suatu kesalahan serius dalam Islam. Oleh
itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap orang Islam di Malaysia
mempertahan dan memelihara institusi Raja Islam kita. Sebarang
serangan atau usaha yang boleh menggugat kemartabatan dan kedaulatan
institusi Raja mestilah ditentang tanpa sebarang kesangsian.

Umat Islam haruslah kembali kepada ajaran agama Islam demi menjamin
kesejahteraan dan keselamatan diri, keluarga, negara dan ummah di
dunia ini dan di akhirat kelak.


Rujukan:
1- Melayu Islam Beraja - Menggali Hakikat Leluhur - susunan Hj
Musaffar Dato' Hj Mohamad & (Tun) Suzana (Tun) Hj Othman
2- Ahlul Bait (Keluarga) Rasulullah S.A.W. dan Raja-Raja Melayu -
susunan Hj Musaffar Dato' Hj Mohamad & (Tun) Suzana (Tun) Hj Othman

No comments:

Post a Comment

Blog Archive