Bebel Without a Clause

Bebel Without a Clause

Tuesday, February 22, 2011

Adat Perpatih di Alor Gajah dan Masjid Tanah perlukan pembelaan dari Kedua2 kerajaan Negeri Sembilan dan Melaka

"Di Negeri Sembilan terdapat 12 suku di mana sembilan datang dari Minangkabau iaitu Paya Kumbuh, Seri Lemak, Mungkal, Tanah Datar, Batu Belang, Tiga Batu, Tiga Nenek, Seri Melenggeng dan Batu Hampar, sementara selebihnya satu dari Anak Acheh dan dua lagi dari Anak Melaka."

Monurut artikel ini, 3 suku (bukan gilo), borasal dari Anak Aceh dan Anak Melaka. Satu Kemusykilan, adoko suku-suku ini tidak borasal dari Sumatra tapi borasal dari Acheh atau Molaka.

Kita tahu Nogoghi Sombilan momportabatkan Adat Porpatih, walaupun dahulu kalo, kawasan Soghomban dan Port Diksen tidak mongamalkan adat Porpatih,iaitu Tomonggong, dan adat ini masih kuat di pogang di Nogoghi Sombilan totapi tidak pulo di Molaka.

Saya ingin momohon agar pihak korajaan Molaka dan juga kalau boleh, Nogori Sembilan, untuk mongadakan program agar adat2 Porpatih diluar Negeri Sembilan tidak jugo diabaikan, torutama di Molaka, kawasan Alor Gajah dan Masjid Tanah. Yang nampaknya adat2 porpatih kian lomah korano mereko borado dikawasan adat Tomonggong.


_________Oleh: AINOL AMRIZ ISMAIL (WARTAWAN UTUSAN)


PEPATAH `biar mati anak, jangan mati adat' cukup sinonim dengan budaya masyarakat pengamal adat Perpatih di Negeri Sembilan. Malah adat yang datang ke negeri ini sejak abad ke-15 dari Minangkabau secara bergelombang, mula terasa bahang empayarnya selepas abad ke-17.



Penghijrah Minangkabau yang pada awalnya memilih untuk menetap di kawasan pedalaman berikutan suasana alam yang sama di Negeri Sembilan, turut melabuhkan noktah di situ selepas cuba bersembunyi daripada serangan lanun pantai.



Selepas itu, dengan termeterainya satu perjanjian bersama atau loghat Negeri Sembilan - pepauh antara Datuk Perpatih Pinang Nan Sebatang dengan Datuk Ketemenggongan, maka satu perdamaian tercetus di mana kawasan laut diserahkan kepada Datuk Ketemenggongan, manakala kawasan darat dipunyai oleh Datuk Perpatih.



Maka sehingga hari ini, suasana itu terbukti apabila daerah Port Dickson bukan merupakan pengamal adat Perpatih, sementara daerah seperti Rembau, Jelebu dan Kuala Pilah dinobat sebagai antara pengikut kuat kepada adat ini.



Inilah antara keunikan adat Perpatih yang cuba ditonjolkan pada Pesta Persukuan Adat Perpatih 2001 yang berlangsung pada 5 hingga 7 Mei ini di Dewan Baru Kuala Pilah, Negeri Sembilan.



Persoalannya, sejauh mana masyarakat negara ini memahami tentang adat Perpatih?



Adat Perpatih merupakan suatu peraturan hidup yang sistematik dengan berteraskan keharmonian hidup masyarakat yang diamalkan oleh orang Negeri Sembilan dan Naning di Melaka.



Sebagai satu cara hidup, adat Perpatih mempunyai peraturan asas yang tidak boleh diubah langsung.



Perkara asas itu termasuklah hidup bersuku, mengira keturunan daripada nasab ibu, perwarisan tanah pusaka dan lain-lain lagi.



Sistem sosial tersebut mengandungi sistem nilai, sistem kekeluargaan, sistem politik dan sistem hukum adat yang lengkap.



Oleh yang demikian, sistem adat Perpatih terdapat sistem perut dan suku. `Perut' adalah unit terkecil di dalam sistem adat Perpatih dan beberapa `Perut' lain akan membentuk `Suku'. Tiap-tiap `Perut' akan diikuti seorang `Buapak', sementara setiap `Suku' diketuai oleh seorang `Lembaga'.



Selain itu dalam sistem politik adat Perpatih terdapat juga jawatan Undang yang menerajui Luak.





Satu lagi keunikan yang cuba ditonjolkan pada pesta berkenaan ialah kehebatan sistem harta pusaka di mana barang peninggalan itu dianggap pusaka seperti rumah, tanah, barang kemas dan lain-lain yang hanya boleh diwarisi oleh anak perempuan sahaja.



Pengerusi Jawatankuasa Kecil Seminar, Pameran dan Bahasa Bicara, Ismail Abdul Hadi berkata, sempena pesta tiga hari itu, satu seminar berkaitan adat Perpatih akan diadakan pada hari ini (Jumaat), yang mana antara lain membincangkan dengan panjang lebar berhubung adat Perpatih.



Menurutnya, seminar itu akan dihadiri kira-kira 500 peserta yang terdiri daripada Datuk Lembaga, Buapak, Besar Waris, Ibu Soko, guru dan pelajar.



Dalam pertemuan itu nanti pembicara, Datuk Penghulu Simulie dari Minangkabau, H. Kamardi Rais cuba membawa pengamatan terhadap adat perkahwinan melalui adat Perpatih secara holistik.



Di samping itu juga, seorang bekas Profesor Madya dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Norhalim Ibrahim yang banyak mengkaji sejarah adat di Negeri Sembilan akan meleraikan tugasan dan peranan Buapak, Semenda, Tempat Semenda, Waris Soko dalam masyarakat adat.



Di Negeri Sembilan terdapat 12 suku di mana sembilan datang dari Minangkabau iaitu Paya Kumbuh, Seri Lemak, Mungkal, Tanah Datar, Batu Belang, Tiga Batu, Tiga Nenek, Seri Melenggeng dan Batu Hampar, sementara selebihnya satu dari Anak Acheh dan dua lagi dari Anak Melaka.



Sementara itu, pada seminar dan Pesta Persukuan Adat Perpatih ini juga, perkisahan sosiobudaya Negeri Sembilan akan ditonjolkan menerusi masakan, minuman, budaya, tarian dan alatan permainan tradisional. Antaranya termasuklah masakan lemak cili api, nyanyian lagu Bongai (bermaksud seorang yang dihormati dan dikasihi) dan tarian lagu Chaklempong serta Tumbuk Kalang.



Sebuah buku bertajuk Setitis Tinta Abadi yang bahannya merupakan pengumpulan skrip Pesta Adat Perpatih sejak dua tahun lalu akan dilancarkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.



Buku berkenaan ditulis oleh Setiausaha Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, Ismail Abdul Hadi, Setiausaha Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Negeri Sembilan, Mohammad Tainu dan Datuk Lembaga Luak Ulu Muar, Datuk Khalid Bonget.



Anak Negeri Sembilan, khususnya dan pengkaji sejarah adat Perpatih juga akan cuba dibawa ke zaman silam dengan menyaksikan pameran purba yang memperlihatkan peralatan seperti lokar (almari),gopong (bekas air), kongkong (dapur), beliung, pelurut (alat melerai mengkuang) dan sebagainya. Pesta Persukuan Adat Perpatih memberikan keunikan kepada pengamalnya serta ketakjuban kepada yang melihatnya.
 

No comments:

Post a Comment

Blog Archive